Tiada Lagikah Tuhan di Hati Mereka?
Namun dalam era serba moden ini masih ada yang bersandar kepada iblis dan jin seperti mengamalkan amalan-amalan sihir, santau, ilmu pengasih untuk mendapatkan orang-orang yang disukai, melepaskan rasa dengki dan iri hati dan sebagainya. Malah keadaan ini semakin menjadi-jadi kini. Makin moden zaman kita, makin banyak mainan sihir di kalangan masyarakat kita.
- Rujukan mengenai sihir juga amat jelas dalam Surah Al-Falaq yang diturunkansetelah Nabi disihir oleh seorang Yahudi Arab:
Kisah Penurunan Surah Al-Falaq
Seorang Arab Yahudi bernama Labid ibn Asim yang merupakan antara munafiq telah mengenakan Ilmu Hitam (sihir) kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Dia telah mengambil rambut baginda dan membuat sebelas ikatan (simpulan) dan meletakkannya di bawah batu berhampiran telaga bernama Zarwan. Akibatnya, Nabi Muhammad s.a.w. telah mengalami kekeliruan dan was-was tentang perkara yang telah dilakukan dan belum dilakukan baginda (walaupun ia tidak mempengaruhi ajaran dan sifat kenabian baginda). Maka, malaikat Jibrail turun menghadap baginda dan memberitahu perkara yang sebenar dan menyampaikan dua surah iaitu Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Baginda bersama para sahabat baginda pergi ke telaga tersebut dan mengalihkan simpulan rambut tersebut. Ketika setiap kali surah dibaca, simpulan itu terurai dengan sendirinya dan ketika simpulan yang kesebelas terurai, baginda telah bebas dari pengaruh ilmu hitam tersebut.
(Rujukan: Tafsir Ibn Kathir & Ma'arif al-Qur'an ~ Sumber: Internet)
Menurut Abdullah Yusuf Ali, pada waktu zaman kenabian Nabi Muhammad s.a.w., terdapat seorang bomoh perempuan yang mengenakan sihir hitam ke atas musuhnya menggunakan sihir pada simpulan. dengan itu, Allah menurunkan surah ini sebagai perlindungan daripada sihir tersebut.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
1. Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian
makhluk.
2. Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan.
3, Dari bahaya gelap apabila ia masuk.
4. Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dari ikatan-ikatan).
5. Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
1. Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia.
2. Yang Menguasai sekalian manusia.
3. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia.
4. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam.
5. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.
6. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.
Kesan Perbuatan Sihir
Perbuatan sihir boleh menghancurkan serta memecahbelahkan kehidupan orang lain. Sihir boleh memisahkan atau menceraikan perhubungan di antara dua orang atau lebih. Selain daripada itu, amalan sihir juga mencacatkan aqidah pengamalnya, terutama di kalangan orang-orang yang mengaku dirinya Muslim. Bagaimana ya, seorang yang mengaku keislamannya boleh mengamalkan amalan syaitan ini dan tergamak menghancurkan dan merosakkan hidup orang lain semata-mata untuk memuaskan rasa tidak puas hati dan dengki amarah?
Sesungguhnya perbuatan sihir ini tidak lain dan tidak bukan adalah berpaksikan kepada ilmu atau ajaran syaitan yang sememangnya mahukan akidah umat Islam terus sesat dan rosak binasa. Sihir tidak memberikan apa-apa kebaikan untuk orang yang mengamalkannya, lebih-lebih lagi orang yang menjadi mangsanya. Banyak impak buruk yang terpaksa ditanggung oleh mangsa sihir seperti penderitaan penyakit yang tidak terubat dengan kaedah perubatan konvensional, mengalami mimpi yang mengerikan, diganggu lembaga menakutkan, tertutup peluang mencari rezeki, menjadi 'bodoh-bodoh alang' dan sebagainya.
Malangnya, pengamal-pengamal sihir bebas melakukan penganiayaan ke atas mangsa kerana tidak ada peruntukan undang-undang yang boleh mengheret mereka ke muka pengadilan. Ini juga menyebabkan ketidakadilan kepada orang yang teraniaya kerana yang menyihir terlepas begitu sahaja.
Hairan, bagaimanalah orang-orang seperti ini hidup. Bolehkah dia terus hidup senang dengan membuatkan orang lain susah? Bolehkah dia hidup gembira dengan membuat orang lain menangis? Bolehkah dia berasa puas hati dengan menjatuhkan orang lain? Bolehkah dia hidup tenang dengan membuat orang lain derita? Aku tak faham, sedikit pun. Kerana dengan membuat orang lain susah, menangis, jatuh, derita, serta aniaya, sangat cukup untuk membuatkan aku rasa berdosa dan manusia sia-sia.
Semoga Allah sentiasa melindungi kita dari kebinasaan dan kecelakaan serta dari sifat dengki dan perbuatan jahat orang lain, mahupun berbuat jahat kepada orang lain. Ameen...

