CERPEN - Menanti Pelangi


Malam kian larut. Jarum jam sudah berganjak ke pukul 1.30 pagi. Semakin banyak juga kenangan yang menyelinap masuk ke ingatan Maya. Sejak pulang ke kampung Maya sering berkurung di kamarnya. Berbaring setia di katilnya, sambil fikiran Maya belum putus mengenangkan Hisham yang pernah menjadi kekasih hati. Tapi kini dia sendiri. Hari demi hari disulami tangisan pilunya. Harapan Maya punah, hatinya hancur diperlakukan Hisham sebegitu rupa. Tidak disangka Hisham yang dianggap baik dan jujur oleh semua orang rupa-rupanya talam dua muka. Dialah racun yang telah merebak ke dalam urat saraf Maya lantas hampir membunuh jiwa Maya secara diam-diam.
            Kedua orang tua Maya turut bersedih dan runsing dengan sikap anak gadis mereka. Mereka memang sukakan Hisham saat mula-mula Hisham datang merisik bersama keluarganya. Kerana mengenali kedua orang tua Hisham, mereka menasihati Maya supaya bersetuju dengan pinangan Hisham. Lantaran itu, Maya hanya menurut kata orang tuanya dengan menerima lamaran Hisham dan mereka ditunangkan walaupun baru sebulan berkenalan. Maya sangkakan Hisham benar-benar serius kerana Hisham agak berumur berbanding dirinya. Hisham turut meyakinkan Maya yang dia benar-benar ingin mencari calon isteri memandangkan umurnya telah pun mencecah tiga puluh tahun.
            Maya merenung kipas yang ligat berpusing di siling sambil berbaring. Mindanya tiada lain masih teringatkan peristiwa yang baginya sebuah sejarah hitam dalam hidup. Seperti putaran kipas, ingatan Maya juga berputar-putar mengenang kembali cerita lama. Pada awal pertunangan mereka semuanya elok-elok sahaja. Walaupun Hisham merupakan pilihan keluarga, tetapi Maya yang ketika itu masih menuntut di tahun akhir di UIA, menerima Hisham dengan ikhlas. Baginya, pilihan keluarga adalah yang terbaik dan restu ibu bapa sangat penting. Tambahan pula, hubungan mereka dirasakannya cukup serasi pada awalnya.
            “Terima kasih Maya, sebab jadi tunang abang. Abang rasa bertuah dapat Maya. Sekarang ini saat paling bahagia yang pernah abang rasa.” Masih terngiang lagi kata-kata manis Hisham di benak Maya, dan masih menari lagi semua kenangan wangi.
Sesekali Maya tersenyum sendiri mengenang keindahan waktu itu. Hisham terlalu gembira apabila Maya bersetuju mengikat ikatan pertunangan dengannya. Masih dapat didengar, bagaimana Hisham mengucapkan kata-kata syukur kepada Tuhan selepas selamat selesai majlis pertunangan mereka. Sekurang-kurangnya Hisham masih ingat pada Tuhan saat dia gembira.
            “Maya janji dengan abang jangan berubah hati ya, sayang. Abang tak akan sia-siakan hidup Maya.” Terpahat kuat kata-kata janji Hisham di dada Maya. Bagi Maya, ini anugerah Allah yang besar buat dirinya. Tetapi anugerah itu tidaklah bertahan untuk Maya sandarkan harapannya. Anugerah itu sebenarnya dikirim Tuhan sebagai ujian besar dalam hidupnya. Pertama kali dia merasakan perasaan sebegitu indah, namun keindahan itu sekadar untuk waktu bersuka si lelaki yang bukan pula miliknya kini.
            Dalam meniti keindahan bahagianya berkasih sayang, manisnya waktu bertunang, indahnya bercinta, pergolakan menerpa seraya meretakkan hubungan itu. Hisham semakin hari semakin berubah, seperti ada yang tidak kena. Maya semakin rasa serba salah. Merajuk juga Maya dengan kelakuan Hisham yang sentiasa cuba mengelak, cuba menjauhkan diri daripadanya. SMS tidak berbalas, telefon pun sering sahaja tidak dijawab. Bermacam-macam alasan yang Hisham berikan kepada Maya. Kononnya sibuk bekerja.
            Pada mulanya Maya terus percaya pada Hisham tanpa mahu mengesyaki apa-apa, tetapi hatinya kurang sedap. Pernah juga Hisham tersalah menghantar SMS yang seperti bergurau dengan kawan perempuan mengajak mandi bersama. Entah mengapa Maya seperti terlupa untuk membangkitkan soal itu, malah terus percaya kepada Hisham seperti hamba yang dungu. Hari berlalu, gerak hati Maya kuat mengatakan bagai ada perkara buruk yang akan berlaku. Maya turut bermimpi, sudah berkahwin dengan Hisham dan mempunyai seorang bayi, tetapi Hisham dicium dan ditarik perempuan lain lalu pergi meninggalkan Maya sendiri bersama bayi atas ribaannya.
            “Mimpi mengarutlah, sayang. Jangan difikirkan sangat.” Begitu pesan Hisham.
Maya menyimpan bimbang dalam hati, walaupun sekadar ketawa sambil bercerita kepada Hisham dan ibunya melalui telefon. Siang malam Maya berdoa agar Allah pertahankan hubungan pertunangan mereka, semoga Allah redhai mereka sehingga selamat menjadi suami isteri yang sah. Yang menjadi lebih susah hati, mereka berdua tinggal berjauhan dan jarang bertemu. Maya di Kuala Lumpur, dan Hisham pula bekerja di Pulau Pinang.
            Perubahan Hisham yang semakin jarang meluangkan masa menghubungi Maya secara tiba-tiba itulah yang mengundang kegalauan hati Maya. Sedang Hisham terlalu sibuk dengan kerja di kilang sebagai juruteknik, dia sibuk juga melayan gadis-gadis yang ramai keliling pinggang. Hisham tidak jujur, dia sedar itu. Tetapi dia tidak tahan dugaan. Di kilang, memang ramai gadis muda yang menggilainya. Dia lelaki bujang yang berusia matang, mempunyai rupa yang elok, sudah lama bekerja, masa depan terjamin. Itulah juga yang membuatnya menjadi sedikit bangga dengan dirinya.
Kerana bangga kerana diminati dan digilai ramai gadis, Hisham lupa yang dia sudah punya tunangan, atau pura-pura tidak ingatkan Maya. Lupa untuk setia. Hisham tahu Maya risau, tetapi dia menjadi sangat keberatan untuk melayan tunangannya itu seperti dahulu. Tidak tahu mengapa, hatinya rapuh. Ada yang lebih menarik hatinya selain Maya. Lupa dia pada janji-janjinya. Namun Hisham yakin Maya mempercayainya. Amat yakin.
            “Anggap ini semua sebagai dugaan untuk kita.” Itu sahaja ungkapan yang sering Hisham gunakan sebagai alasan, biarpun Maya terus-terusan tidak berpuas hati.
Beberapa bulan mereka tidak bertemu sehinggalah tiba cuti Hari Raya Aidilfitri, Maya pulang ke kampung berserta niat untuk selesaikan segala kekusutan antara dia dengan Hisham, selain melepaskan rindu dengan keluarga. Hisham tidak mengakui perubahan dirinya. Maya pula sering diganggu dengan soalan-soalan yang membebani fikirannya. Maya tak mampu positif lagi. Sungguh dia takut. Kali ini harapannya biarlah segala kekusutan benar-benar terlerai.
            Pulangnya Maya turut mengundang duka dan rasa tak tidak sedap hati yang teramat. Hisham marah-marah tak tentu fasal di talian apabila Maya telefon suatu malam. Maya menangis tiada tertahan lagi. Tidak tahu apa puncanya Hisham marah-marah dengan tiba-tiba. Hisham juga runsing, tidak tahu mengapa dia begitu marah tanpa sebab lalu memohon maaf keesokan harinya. Tanpa boleh diamkan lagi, Maya menceritakan kepada kedua orang tuanya segala permasalahan yang melanda.
            Dengan risau, bapa Maya berikhtiar mencari sebab, meneliti punca Hisham jadi begitu. Mujurlah bapanya pandai berubat secara Islam dan gerak hatinya juga dapat menghidu sesuatu yang kurang enak berlaku. Dia berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah swt. Firasatnya mengatakan ada perempuan menyukai Hisham dan perempuan itu telah menyihir Hisham untuk membuatkan Hisham terpikat padanya. Tidak cukup itu, Hisham ada juga termakan makanan yang diberi perempuan itu. Itulah punca mengapa Hisham jadi kacau dan tawar hati dengan Maya mungkin.
            “Saya bermimpi, Hisham dan Maya putus tunang.” Ros, kakak Hisham yang kecoh mulutnya bersuara di hadapan tetamu yang lain di rumah Maya saat mengunjungi mereka pada hari raya. Niatnya mungkin ingin menyatakan kegalauan hatinya pada orang tua Maya, tetapi dia berbicara pada saat yang kurang sesuai, iaitu di hari raya ketika tetamu lain turut sama mendengar. Sewajarnya perkara sebegini dibincangkan bersama ahli keluarga sahaja. Terlanjur Ros membuka cerita, bapa Maya turut bercerita. Kebetulan, ibu Maya memang mahu kedua orang tua Hisham tahu tentang perkara ini. Malangnya bapa Hisham tidak ikut sama.
            “Hisham,” bapa Maya memulakan bicara. “Apa Hisham ada mana-mana kawan perempuan di tempat kerjakah?” Orang tua itu bimbang kerana persetujuan yang dibuat untuk menyatukan anak gadisnya bersama Hisham merupakan pilihan keluarga. Manalah tahu kalau-kalau Hisham ada pilihan hati yang lain. Tetapi yang meyakinkan hatinya adalah keputusan Hisham sendiri yang bersetuju memperisterikan Maya.
            “Kawan-kawan tu adalah, pak cik.”
            “Kawan yang macam mana?”
            “Saya leader di production line di kilang. Jadi, pekerja-pekerja yang di bawah jagaan saya memang ramai operator perempuan. Kawan di kilanglah, pak cik.” Hisham berterus-terang, cuba memuaskan hati setiap yang mendengar termasuk ibunya sendiri yang lebih banyak berdiam sedari tadi. Hanya kakaknya, Ros sahaja yang banyak bercakap.
            “Maya ada ceritakan tentang seorang perempuan di kilang yang katanya sukakan Hisham.” Hisham diam seketika mendengar itu, Ros bising. Kemudian Hisham menjawab soalan itu kembali.
            “Ada. Tapi saya dah cakap yang saya dah tua. Budak tu muda sangat, dalam dua puluh umurnya. Saya pun ada beritahu yang saya dah bertunang.”
            “Perempuan sekarang, bukan kira tua ke muda. Dia mahu yang ada rupa, ada duit,” sampuk Ros.
            “Saya dah beritahu Maya saya tak ada apa-apa dengan perempuan itu,” sambung Hisham, memandang bakal bapa mertuanya. Matanya sempat menjeling Maya yang jaraknya tidak berapa jauh dari sisi. Mungkin kurang berpuas hati dengan tindakan Maya bercerita tentang itu. Beberapa bulan lalu ada dia ceritakan tentang Haslina, gadis operator di kilang yang tergila-gilakannya. Tetapi sudah dipesan agar jangan diceritakan pada orang tuanya.
            “Sham, kakak tahu yang Sham lebih sayangkan perempuan tu daripada Maya, kan?” Ros menduga-duga apa yang tersimpan di dalam hati Hisham. Maya panas hati mendengar kenyataan itu, tetapi Hisham menafikan kata-kata Ros sambil ketawa.
            “Hisham layan ke? Cakaplah pada dia, jangan ganggu.”
            “Dia ni lembut hati, pak cik. Tak sampai hati nak sakitkan hati orang.” Ros mencelah sebelum Hisham menjawab pertanyaan bakal bapa mertuanya itu. Hisham sekadar tersenyum, tunduk.
            “Betullah tak sampai hati, tapi dia ganggu Hisham. Dan perkara ini boleh mengganggu hubungan ini. Yang sebenarnya Hisham dah terkena buatan. Ada dia beri kau makan?” Orang tua itu berterus terang.
            “Ada, dua kali. Yang mula saya tak makan. Keduanya dia bagi coklat. Saya makan, tapi saya kongsi dengan kawan-kawan.”
            “Tak kiralah kongsi dengan siapa pun. Dia buat itu tujukan atas nama Hisham. Jadi yang kena Hisham. Yang lain-lain tak kena.” Terang orang tua Maya.
            “Kena berubat ni, Sham. Pulihkan semula, bersihkan tubuh badan dan keluarkan apa yang dia hantar dalam badan Hisham tu. Yang pak cik risaukan, belum pun kamu berdua bernikah dah ada cerita-cerita yang macam ini. Takut-takut dia berdendam tak dapat Hisham pula nanti.” Orang tua Maya tidak henti meluahkan lagi kebimbangan yang terbuku di hatinya.
            Ibu dan kakak Hisham turut risau. Mereka percaya dengan orang tua Maya kerana dia arif dalam perubatan secara Islam. Dia sering berubat orang yang terkena ilmu sihir atau saka serta penyakit-penyakit mistik yang tidak boleh diubati secara perubatan moden. Lebih meyakinkan, perubatannya bukanlah berpaksikan jin atau iblis. Semuanya berlandaskan ayat-ayat suci Al-Quran serta doa kepada Allah yang Maha Esa.
Inilah yang merisaukan Hisham. Dia risau kalau tersalah langkah, nescaya rahsianya terbongkar. Sewaktu mula-mula tahu ayah Maya boleh berubat dahulu terkejut juga Hisham. Apa tidaknya, rahsia besar harus disimpan kemas. Dia sedar dia bermain dengan orang yang salah dan ini cukup merbahaya. Andai permainannya terbongkar, punahlah segala yang dirancang selama ini.
            Pulangnya Hisham dari rumah Maya membuatkan mindanya tidak berhenti berfikir. Seolah-olah tidak percaya Haslina membuat sihir ke atasnya kerana ingin memiliki dirinya. Memang dia ada melayan Haslina sedikit-sedikit, tetapi sekadar suka-suka sahaja. Benarkah? Atau mungkinkah tersilap? ‘Aku buat orang, kemudian orang lain buat aku pula.’ Terdetik sesuatu di hati kecil Hisham, menyedari mungkin ini balasan daripada Allah atas kesalahannya.
            Terkenang Hisham akan perbuatannya ke atas Maya sewaktu ingin memiliki Maya dahulu. Kerana ingin memperisterikan Maya dan risau kalau-kalau Maya menolak pinangannya, Hisham pernah menggunakan cara tidak elok untuk membuat Maya terpikat padanya. Kerana perbezaan taraf pendidikan serta beza umur yang ketara, Hisham bimbang Maya menolak pinangannya. Kerana itu Hisham dan kakaknya, Ros pergi berjumpa dengan bomoh yang dikata orang sangat handal di salah sebuah daerah di negeri Kedah. Tujuannya adalah untuk membuat jampi pengasih ke atas Maya. Dengar cerita, sudah ramai yang mengupah bomoh itu membuat jampi pengasih untuk memiliki orang yang disukai dan memang jarang yang gagal.
            Benar, pengasih panah arjuna yang dibuat bomoh itu memang menjadi dengan izin Allah. Kebetulan mereka memang memiliki gambar Maya. Bomoh menggunakan gambar itu sebagai pemujaan untuk membuat Maya sentiasa ingat pada Hisham seorang. Namun, Hisham diingatkan supaya berniat baik dan menjaga Maya dengan elok.
“ Lepas ni gerenti dia tak cari lain. Dia nampak hang sorang saja, tapi ingat, kalau hang buat jahat, tak eloklah jadinya. Kalau jadi apa-apa, hang tanggung.” Begitulah kata bomoh itu, mengingatkan Hisham akan syaratnya dalam dialek utara. Pada mulanya memang Hisham benar-benar ingin berubah dan setia dengan Maya. Malangnya apabila nafsu menjadi raja, Tuhan pun dilupakan.
Setelah berjaya memiliki Maya dia sedar Maya benar-benar sayangkannya dan benar-benar percaya kepadanya. Hati Maya memang benar-benar tertambat. Kerana itu Hisham amat yakin Maya terus berada dalam genggamannya, walaupun dia sedar dia seolah-olah menggunakan Maya untuk kepentingan dirinya. Dia sayangkan Maya, tetapi dalam masa yang sama nafsunya turut mendorong dirinya melanggar batas kebebasan untuk terus berfoya-foya dengan mana-mana perempuan yang disukainya. Maya akhirnya menjadi mangsa ketidakadilan dan kepentingan diri Hisham.
Cerita menjadi semakin rumit apabila mengetahui bakal bapa mertuanya seorang yang pandai dalam perubatan secara Islam. Pada awalnya mungkin belum diketahui orang segala rahsia, tetapi dia takut lambat laun semuanya terbongkar. Segalanya. Pengasih panah arjuna serta kecurangannya dengan gadis lain. ‘Lina satu hal, bagaimana pula kalau mereka semua tahu tentang Mimi? Mati aku kalau terbongkar.’ Hatinya berkata-kata. Hisham semakin risau hubungannya dengan Mimi diketahui Maya dan semua.
Selain daripada itu, banyak lagi keburukannya yang mahu disorok. Sikapnya yang suka menipu dan mungkir janji telah pun Maya kesani sedikit demi sedikit. Selebihnya, ramai perempuan yang pernah menjadi mangsanya. Ada juga yang sanggup serahkan segalanya, lalu Hisham mengikis duit perempuan-perempuan itu. Islam hanya sekadar di bibir, hanya pada nama, tetapi tidak dipraktikkan.
Telefon bimbit mendendangkan lagu penyanyi barat Lady Gaga, lantas membunuh lamunan Hisham. Maya di talian. Hisham acuh tak acuh sahaja melayan, menunjukkan marah dan kecewanya konon. Maya memohon maaf, seolah-olah semua yang berlaku adalah salah Maya. Hisham bagai menyalahkan Maya dan keluarganya kerana hal peribadi diceritakan di hadapan ramai tetamu yang tidak sepatutnya tahu. Hisham sengaja menggunakan peluang untuk meletakkan kesalahan ke atas Maya, sekaligus menutup kesalahannya pula. Pada hakikatnya Ros lah yang membuka cerita permasalahan terlebih dahulu, namun tidak pula Hisham menyalahkan kakak kesayangannya itu.
Maya dapat memujuk Hisham untuk berbaik-baik dan tidak bertengkar lagi. Hisham berlembut hati. Sekali lagi Hisham berjanji dengan Maya mahu ke rumah bersama ibunya untuk berubat dan berjumpa Maya sebelum pulang ke universiti. Janjinya pagi, kemudian ditangguh tengah hari. Setelah berjanji untuk tiba pada waktu makan tengah hari di rumah Maya, Hisham kelewatan seperti biasa sedangkan dia berjanji untuk makan tengah hari di rumah Maya.
Hisham telefon, lewat datang kerana mahu pergi beraya dahulu. Maya bengang. Hisham mungkir janji lagi, sedang dia sanggup berlapar menunggu Hisham yang berjanji untuk makan bersama. Kerana turutkan rasa marah, Maya tidak mahu keluar bilik setibanya Hisham di rumahnya. Tetapi tidak pula dia sampai hati berbuat begitu mengenangkan ibu Hisham ikut sama.
Entah mengapa, mendengar sahaja suara kakak Hisham hati Maya seakan-akan melarangnya untuk keluar. Ada rasa benci terhadap perempuan itu di hati Maya. Teringat-ingat mulutnya yang bising dan kepoh, sentiasa mahu membela adik sendiri walaupun salah. Terbongkarlah kelemahan Maya yang ketara, dia cepat marah dan panas baran. Maya terlalu ikutkan perasaan menyebabkan berlaku pula masalah lain apabila ibu Maya memarahinya di hadapan semua kerana tidak mahu keluar bilik. Maya pun sama degil, melawan dan terlalu ikut hati sehingga Hisham mengatakannya kurang ajar.
Peristiwa itu lantas mencetuskan masalah pula antara Hisham dengan Maya. Mulanya, sebelum pulang ke Kuala Lumpur Hisham dan Maya seperti sudah bermaaf-maafan dan berbaik-baik. Maya sendiri sudah menelefon ibu dan kakak Hisham meminta maaf atas kebiadabannya. Hisham sendiri menyuruh Maya melupakan perkara tersebut. Namun, masalah mereka berdua berlarutan selepas Maya kembali ke universiti. Secara tiba-tiba Hisham tidak mahu menghubungi Maya.
Bila dicerita kepada kedua orang tuanya, Maya dimarahi dan ditengking oleh Hisham. Hisham langsung tidak pedulikan Maya lagi. Alasannya terluka dengan sikap kurang ajar Maya dan sukar memaafkan Maya, lantas terus dapat menutup silapnya dengan senang pula. Setiap kali Maya telefon dia marah, malas melayan, menengking. Setiap kali Maya ingin berbincang Hisham mengelak, tak mahu berbincang, bosan katanya.
Jiwa Maya tersiksa. Dia terlalu rindukan Hisham. Penangan pengasih panah arjuna yang Hisham upah bomoh buat. Bomoh pula tak henti-henti memuja gambar Maya supaya terus merindui Hisham selagi mendapat upah lumayan. Sungguh mereka manusia iblis. Membuat kerja tak ingat Tuhan.
Berkali-kali Maya memohon maaf seperti hamba sahaja lakunya, tetapi tidak Hisham endahkan malah terus-terusan menghukum Maya.  Sedangkan sewaktu Maya meminta putuskan pertunangan semasa Hisham pernah melakukan perkara sumbang ke atasnya beberapa bulan dahulu, Maya sanggup memaafkan saat Hisham merayu-rayu memegang kaki Maya dan meminta diberi peluang lagi. Maya masih mahu mendengar kata ibu bapanya supaya bersabar dan beri Hisham peluang walaupun dia merasakan dirinya tidak langsung Hisham hormati. Maya terima Hisham lagi dengan harapan tunangannya itu benar-benar insaf dan mahu berubah. Tetapi, bila begini jadinya pada Maya, Hisham berlaku sungguh kejam dan seolah-olah sengaja menyiksa.
            Maya sering menyalahkan dirinya sendiri. Dia berdoa siang malam. Selepas solat Maya berdoa, memohon ampun dan menangis. Seringkali Maya bermimpikan mimpi-mimpi buruk malam hari, tapi tidak mampu mentafsir mimpi yang baginya suatu gangguan itu. Maya tidak mampu untuk kuat, untuk lupakan Hisham. Dua puluh empat jam ingatannya pada Hisham, tak siapa tahu apa yang dirasainya. Maya tidak mampu menumpukan sepenuh perhatian untuk peperiksaan tahun akhirnya. Sungguh dia merasa susah. Sungguh dia hairan, mengapa dia sehingga begitu terlalu sayang pada Hisham sedangkan Hisham telah banyak melukakan hatinya? Mengapa masih dia berharap pada Hisham?
            Hisham pula seronok dengan perempuan baru yang disukainya. Diabaikannya Maya. “Beri abang masa,” itu katanya setiap kali. Hisham juga memberi amaran kepada Maya supaya jangan memaksa, mengingatkan supaya jangan menelefonnya. Rimas katanya. Hati kecilnya risau, tetapi dia sudah tidak rasa mesra dengan Maya seperti dulu lagi. Hisham seronok melayan Mimi yang baginya lebih cantik dan lebih menarik. Perempuan baru yang dekat dengannya. Dia terlalu pasti Maya tidak akan tinggalkannya. Maya tak akan mampu hidup tanpa dirinya, lantas menipu lagi. “Abang ada Maya seorang saja. Tak percaya dengan abang?” Begitulah cara dia memancing hati Maya, terus mengikat kepercayaan Maya pada dirinya. Baginya Maya bodoh, dan dia menang.
            Selesai peperiksaan, ibu bapa Maya terus ke universiti, mengambil Maya pulang ke rumah. Dalam hati kedua orang tuanya nekad untuk memutuskan hubungan Maya dengan Hisham. Hari-hari mereka menerima panggilan telefon daripada Maya dengan tangis sendu. Ibu mana yang tak luluh hatinya mendengar tangisan anak yang menderita begitu? Bapa mana yang tak hancur hatinya mengenangkan nasib anaknya yang diperlakukan orang sewenang-wenangnya sebegitu rupa?
Memanglah mereka berdua yang memilih Hisham, dan menyukai Hisham. Tetapi itu sebelum mereka mengenali Hisham yang talam dua muka, dan kakaknya yang bertopengkan iblis. Hisham cuma berlakon, berpura-pura baik untuk kepentingan diri sendiri. Kasihnya pada Maya palsu. Sayangnya pada anak gadis mereka sekadar untuk memenuhi keperluannya, sekadar untuk senda bersama. Kasih sayang Hisham cuma mainan, tidak tulus.
Tidak dinafikan Maya ada mencetuskan masalah, melakukan kesilapan. Tetapi sekurang-kurangnya Maya berani mengakui kesilapannya dan menelefon ibu dan kakak Hisham untuk meminta maaf. Sebaliknya kesilapan Hisham terhadap Maya dahulu tidak pun keluarganya tahu. Mereka diamkan sahaja kerana tidak mahu Hisham malu. Lebih-lebih lagi Hisham sudah memohon maaf. Tetapi dengan hanya satu kesilapan yang Maya lakukan, mereka menghukum Maya terus dan melupakan segala kebaikannya.
“Apa yang terjadi telah ditakdirkan Allah. Sesuatu yang terjadi itu pula bersebab. Tiada siapa yang tahu kerja Allah, Maya. Semua manusia tak lari dari melakukan kesilapan. Maya rasa bersalah, baguslah Maya sedar dan Maya mahu berubah. Jangan baran lagi. Tetapi terjadinya perkara itu membuatkan kita kenal siapa Hisham sebenarnya. Orang yang macam mana Hisham itu. Allah Taala dah aturkan semuanya.”
Begitu bapa Maya meyakinkan hati Maya supaya kuat dan tabah. Kesalahan kecil yang Maya lakukan dapat membongkar sifat sebenar Hisham yang telah terlalu lama berselindung di sebalik topeng iblisnya. Ternyata Allah mahu menunjukkan siapa Hisham sebenarnya. Terang-terangan Allah selamatkan Maya.
Mereka tahu, Hisham buat perkara jahat untuk memiliki anak gadis mereka. Dan mereka sudah pun selidiki, Hisham ada perempuan lain. Semua perempuan yang menyukainya dilayan. Yang mana yang menurut katanya, dikikisnya duit perempuan itu.  Sia-sia kepercayaan Maya pada Hisham, sedang Hisham membuat aniaya terhadap Maya. Semua mereka tahu, cuma belum memberitahu Maya kerana bimbang terganggu peperiksaan akhir Maya.
Hisham langsung tidak menghubungi Maya sejak seminggu sebelum pulang dari tamat belajar sehinggalah menjelang Hari Raya Aidil Adha. Tiada langsung sokongan moral saat Maya merasa payah. Maya terkilan, benar-benar teluka dan semakin rasa dipergunakan oleh Hisham. Mereka sekeluarga sepakat ingin memaklumkan sikap Hisham pada ibu bapanya sekaligus memutuskan pertunangan itu. Seperti yang dijangka, Hisham tetap mendapat pembelaan daripada keluarganya yang tidak mahu bersikap adil dalam menyelesaikan masalah ini. Orang tua Maya kira, biarlah diputuskan hubungan ini daripada menyesal selepas bernikah.
 Maya masih sayangkan Hisham walaupun sudah tahu siapa Hisham sebenarnya. Aneh sekali rasa sayang sebegitu, sedangkan Hisham belum pun sah menjadi suaminya. Maya rasa dirinya sangat bodoh, langsung tidak mampu mengawal emosi gilanya. Bapa Maya cepat menangkap perubahan itu. Semuanya kerana pengasih yang Hisham buat. Walaupun setelah beberapa bulan putus tunang dengan Hisham, Maya masih teringat-ingat akan Hisham. Tangisannya hari demi hari semakin merunsingkan kedua orang tuanya. Maya seperti orang gila, menjerit-jerit pada sesetengah ketika. Seperti orang yang tidak percayakan Tuhan lagi, Maya terlalu lemah untuk melawan semua itu walaupun dia solat dan berdoa. Seperti segala-galanya sia-sia. Hidupnya seperti hilang punca.
            Bapa Maya berikhtiar berubat secara Islam. Berubat sendiri, dan dua orang sahabat yang sama-sama berubat juga dirujuk. Kedua-duanya memberitahu perkara yang sama. Hisham dan Ros tidak mahu melepaskan Maya dengan senang. Mereka benar-benar menyimpan dendam untuk menjatuhkan Maya. Hisham sendiri tidak dapat menerima hakikat bahawa dirinya ditolak oleh Maya, dan menganggap keluarga Maya memalukan mereka sekeluarga dengan memutuskan pertunangan itu. Dia tidak berniat untuk memutuskan pertunangannya dengan Maya, tetapi sekadar inginkan masa untuk kembali mesra dengan Maya. Dia juga perlu masa kerana Mimi masih bersamanya.
 Apa yang penting bagi kedua ibu bapa Maya kini, segala kekotoran yang tertanam di dalam tubuh Maya sejak sekian lama harus dikeluarkan. Berkali-kali proses perubatan dijalankan untuk memulihkan Maya, untuk membuang sisa jin yang ditinggalkan di dalam tubuh Maya. Maya juga lebih mendekatkan diri dengan Ilahi, memohon perlindungan dan mengharapkan hikmah selepas kejadian yang tidak diduga ini. Banyak zikir dan doa yang diamalnya. Dengan kuasa Allah, di akhir proses perubatan dapat dikeluarkan kuku binatang dari dalam perut Maya, bersama benang kusut yang tertanam di dalam hati Maya.
“Kuku binatang itu simbol kepada pengasih membuatkan Maya akan sentiasa rindukan Hisham selagi namanya diseru-seru, manakala benang kusut itu merupakan simbol kepada kekusutan hati Maya. Mereka tidak mahu membiarkan Maya senang. Hisham mahu sampai Maya melutut kepadanya.”
 Sahabat bapanya yang membantu turut memberitahu bahawa bomoh itu tahu akan kepandaian berubat yang dimiliki oleh orang tua itu, jadi dia bermain dan sembunyikan apa yang tertanam di dalam tubuh Maya. Memang tertutup dek pandangannya. Mujurlah ada sahabatnya yang dapat membantu. Bak kata orang, tukang gunting rambut mana bisa menggunting rambutnya sendiri. Begitulah dalam Islam, kita saling memerlukan antara satu sama lain. Membantu sesama sendiri.
Dengan kuasa Allah, benda-benda  kotor itu dapat juga dikeluarkan dari dalam tubuh Maya akhirnya. Itulah ibu penyakit Maya selama ini, yang tidak dapat dikesan selama lima bulan, malah telah pun bermula sejak sebelum pertunangannya dahulu. Ternyata selepas putus tunang, mereka tidak mahu melepaskan Maya dengan senang. Mereka ibarat manusia syaitan yang bertuhankan iblis. Lidah mengaku Islam, tetapi tingkah laku bertunjang nafsu. Mereka datang membawa harapan pada Maya, lalu mereka juga yang menghancurkan harapan itu. Mereka manusia hipokrit.
****
Maya sekeluarga berada di dalam satu bangunan seperti mahkamah sedang menanti keputusan. Maya tidak langsung memahami bait perbicaraan yang berlaku. Dia seolah-olah tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh semua yang turut berada di situ. Maya terduduk, lesu. Tiba-tiba dia ternampak Hisham berjalan bersama keluarganya. Maya memandang dengan meminta simpati. Ingin sekali Maya beritahu betapa dia sayangkan Hisham. Apakan daya, Hisham terlalu angkuh, berjalan tanpa memandang pun ke arah Maya yang terduduk bersandar di dinding kayu. Hisham terus berlalu meninggalkan Maya tanpa sedikit pun belas dan rasa kasih. Maya seolah-olah perempuan hina di mata Hisham.
****
Maya terjaga dari tidur yang sekejap. Dia sendiri tidak ingat bila waktunya dia lelapkan mata tadi. Jarum jam menunjukkan hampir pukul 2.45 pagi. Maya bangun dan duduk di birai katil. Kedua-dua tangannya meraup muka. Maya terumbang ambing sendiri. Kesal, sedih, malu, geram, marah, rindu, semua bercampur baur membentuk rasa. Maya bermimpi ditinggalkan Hisham di dalam mahkamah seperti selepas perceraian. Ia mungkin akan benar-benar terjadi andai dia berkahwin dengan Hisham. Benarlah memang Hisham bukan jodohnya dan Allah Maha Mengetahui.
 Maya fikir, mungkin dia masih terlalu mentah untuk menilai bahawa cantiknya sesuatu itu bukan bermakna isinya juga baik. Maya masih hijau untuk memahami lakonan dunia yang bernoda, lebih kaca berbanding permata. Sekian lama menanggung derita, menanggung siksa ketika berusaha menamatkan peperiksaan akhirnya, putus tunang selepas tamat belajar dengan cara begitu, dan kini menganggur belum mendapat pekerjaan.
Maya tahu ada orang-orang kampung yang turut mengata. Maya juga tahu Ros pasti membawa-bawa cerita untuk membela adiknya kerana semasa dalam pertunangan lagi memang Ros telah banyak menyindir dan menyakitkan hatinya dengan kata-kata sindiran yang dianggap gurauan. Apalagi setelah begini jadinya. Maya cuba redha, walaupun sangat sukar. Begini rupanya jalan hidupnya yang telah Allah aturkan.
Dengan tidak lupa berdoa dan mengharapkan sesuatu yang baru dan lebih baik sebagai ganti jauh di sudut kalbu, Maya teringatkan cerita-cerita yang pernah sampai ke telinganya tentang keluarga Hisham. Ramai orang kampung tidak sukakan Ros kerana mulut lancangnya. Kakak iparnya sendiri pun tidak sukakan dia sehingga bermusuhan dengannya. Malah Ros sendiri pernah disantau sehingga menghidap penyakit bengkak hati. Tidak cukup itu, menurut cerita Hisham, adik bongsu mereka pernah meninggal dunia akibat buatan orang. Tidak cukupkah semua itu sebagai pengajaran buat mereka?
Maya tidak tahu dan tidak mahu percaya kata-kata orang sebelum ini, tetapi kini dia sendiri lebih kenal siapa mereka sebenarnya. Banyak perkara yang Maya kesalkan. Banyak hal yang Maya ingin katakan pada Hisham sendiri, tetapi tidak diluahkannya sebelum mereka berpisah. Tentang kakaknya, tentang SMS yang Hisham tersalah hantar, malah Maya juga kesal kerana tidak berterus terang dengan Hisham sendiri bahawa dia tahu Hisham ada perempuan lain. Teringin benar dia melihat reaksi Hisham waktu itu. Turut mengundang rasa tidak puas hati, ibu bapa Hisham tidak tahu menahu akan permainan sihir anak-anak mereka.
Namun semuanya sudah berlalu, dan mustahil untuk diperbetulkan lagi. Difikirnya juga, biarlah Hisham tertanya-tanya, sepertimana dirinya pernah tertanya-tanya dengan perbuatan Hisham terhadapnya. Lambat laun Hisham sendiri akan sedar, dan lambat laun kebenaran pasti terbongkar jua. Maya bangun, mengambil wudhu’ dan menunaikan solat sunat tahajud, memohon keampunan dan ketenangan dari Yang Maha Mendengar dan Maha Pengampun. Dipanjatkan doa agar diri menjadi lebih kuat dan tetap pendirian.
            ‘Ya Allah, aku tidak tahu siapa yang salah. Semakin aku fikirkan, aku semakin keliru dan jadi buntu. Andai semua ini terjadi kerana salahku, ampunkanlah diriku. Tetapi andai semua ini kerana salahnya, aku ampunkan dia. Benarlah, aku memang insan yang serba kekurangan. Aku seorang yang sangat sukar mengawal kemarahan dan emosi sehingga mampu mengguris perasaan orang lain. Aku akui aku juga bersalah dalam hal ini, namun semua yang terjadi merupakan gerakMu jua. Kerana kekurangan aku itulah yang telah menyelamatkan hidup aku dari kejahatannya. Kesilapan yang aku lakukan mampu membongkar kejahatan dirinya pula. Segalanya telah tertulis. Aku mohon padaMu Ya Allah, berilah aku petunjuk dan makbulkanlah doaku. Aku mohon perlindungan dariMu dan semoga setiap zikir yang menjadi amalanku menjadi dinding dan benteng yang kuat untuk menepis segala anasir jahat lagi, Ya Tuhanku. Kuyakini KehebatanMu serta KeajaibanMu. Sungguh Kau bekerja dengan cara yang cukup luar biasa buat setiap ciptaanMu.’
Usai solat dan berdoa sesungguh hati, Maya baring memejamkan mata untuk tidur semula. Maya nampak seakan-akan dibawa angin laju di atas awan-awan yang berkepul-kepul. Ternampak dari jauh sebuah rumah besar, selayaknya seperti istana. Maya laju menghampiri istana itu, seperti diterbangkan angin. Tiba di hadapan istana, Maya membuka mata  lalu hilang semua.
‘Apakah petunjuk Allah kali ini? Subhanallah. Allah sentiasa titipkan pesananNya pada setiap hambaNya, tetapi dengan cara yang tidak mudah kita tafsirkan serta merta.’ Bisik hati Maya mengagumi kebesaran Allah. Setiap mimpi yang Allah kirimkan pada Maya adalah ilham buat dirinya. Maya bersyukur dalam sendu kerana Allah menunjukkan masa hadapannya dalam bentuk mimpi-mimpi yang tidak semua insan berpeluang melaluinya. Maya berterima kasih tiada terhingga kerana Allah menyelamatkan dirinya daripada kesusahan dan kejahatan.
Allah telah mengatur segalanya dengan sebaik-baiknya. Dalam susah ada senang, dalam sedih ada bahagia. Kesedihan Maya hari ini, mungkin kebahagiaan Maya di masa hadapan. Allah merencanakan yang terbaik untuk setiap hambaNya. Maya gembira kerana masih ada keluarga yang menyayanginya serta kawan-kawan yang sentiasa menyokongnya. Atiqah, Majdah, Suhada, Nadzi, Muhardi, Nabila dan Khairun banyak memberi semangat kepada Maya di saat kejatuhannya.
Maya yakin, hujan akan berhenti pada tika dan saatnya, kemudian akan wujud pula pelangi yang berseri dan sang matahari akan tetap jua menyinari bumi. Hidup tidak sentiasa cerah. Ada masa diuji dengan hujan, ribut dan petir. Namun, hidup tak juga sentiasa suram, kerana di sebalik ujian ada hikmah yang menanti. Kerana itulah yang mematangkan manusia sebagai hamba Allah di dunia ini. Dan Allah Maha Penyayang. Tiadalah Dia akan membiarkan hamba-hambaNya di dalam derita melainkan menguji dan mengajar untuk yang terbaik. Segala-galanya bergantung kepada iman dan taqwa. Dalam hati Maya berikrar untuk tidak meratap lagi lalu harus terus bersabar dan berjalan lagi sambil menanti pelangi.
________________________________________
Malam gelap, di kamar, Hisham menatap gambar Maya sewaktu majlis pertunangan lama dahulu, sambil hati merintih menanggung kesal dalam pilu. Esok hari perkahwinannya, hari yang bahagia dalam hidupnya bersama insan tercinta, gadis pilihan keluarganya. Namun, kebahagiaan hari ini tidak mampu memadamkan kekesalan yang bersarang dalam hatinya. Hisham menjadi malu. Biarpun keluarganya mempercayainya, namun dia tiada upaya untuk membohongi dirinya sendiri. Ternyata Mimi tiada lagi bersamanya, tetapi dia kehilangan Maya kerana perempuan itu. Kini, tak mungkin Maya akan kembali ke pangkuannya. Dia tidak kuat untuk berhadapan dengan Maya untuk memohon kemaafan dan mengakui kesalahannya. Hisham percaya, nescaya Maya membenci dirinya. Lelaki itu menangis sesungguh hati. Maya, gadis yang pernah dicintai sepenuh hati kini tiada lagi untuknya kerana kekhilafan dirinya sendiri.